Doa Tidak Diterima, Apakah Sebabnya?



Ibrahim bin 'Adham pernah ditanya oleh penduduk Basrah, "Mengapa keadaan kami tidak berubah? Tidakkah Allah berjanji akan mengabulkan doa-doa orang yang memintanya?" Ibrahim bin'Adham menjawab, "Terdapat sepuluh perkara yang mengakibatkan doa kita tidak diterima."

Pertama:

"Engkau mengenali Allah tetapi tidak memenuhi hak-haknya."

Yang dimaksudkan dengan hak Allah ialah kewajipan makhluk beribadat (mengabdi) kepadanya dan menjalankan perintahnya. Orang yang tidak menjalankan perintah-perintah Allah janganlah mengharapkan doanya diterima.

Kedua:

"Kalian banyak membaca al-Quran tetapi tidak mahu mengamalkannya."

Maksud daripada perkataan ini ialah dia mempunyai pengetahuan tentang al-Quran tetapi tidak mahu mengamalkan nilai-nilai yang terdapat di dalamnya. Atau sekiranya belum mempunyai pengetahuan tentang al-Quran, dia tidak berusaha memahaminya. Atau lebih teruk lagi, memahami sesuatu kebaikan tetapi dia sentiasa meninggalkannya dan memahami adanya pengharaman tetapi sentiasa melanggarnya.

Ketiga:

"Kalian mengaku mencintai Rasulullah tetapi meninggalkan sunnahnya."

Pada zahirnya mengaku mencintai Rasulullah dan mengakuinya sebagai ikutan, tetapi selalu meninggalkan sunnahnya, malah melanggarnya.

Keempat:

"Kalian mengaku menjadi musuh syaitan, tetapi kalian mentaatinya."

Mengetahui bahawa syaitan itu sentiasa memujuk ke jalan yang sesat tetapi kita sendiri menyukai kesesatan itu. Dia mengakui dan mengangkat syaitan itu sebagai musuh ketat tetapi dia tidak mampu mengawal hawa nafsunya bahkan mengikutinya.

Kelima:

"Kalian memohon keselamatan daripada seksaan api neraka, tetapi kalian memasukkan sendiri diri kalian ke dalamnya."

Maksudnya, semasa berdoa keadaan dirinya belum dibersihkan daripada kekotoran batinnya. Dengan erti kata lain, semasa berdoa dia membacanya dengan khusyuk dan bersungguh-sungguh memohon keselamatan daripada azab neraka yang pedih, tetapi dalam kehidupan sehariannya dia tidak mahu meniggalkan kebiasaan-kebiasaan buruknya.

Keenam:

"Kalian berdoa supaya dimasukkan ke dalam syurga tetapi kalian enggan melakukan perkara yang dapat menuju kepadanya."

Enggan yang dimaksudkan adalah enggan menempuh jalan yang dapat menghantarkan mereka ke dalam syurga, iaitu melalui jalan kebaikan. Dengan erti kata lain, dia tidak mahu menggantikan kebiasaan buruknya dengan kebiasaan yang baik.

Ketujuh:

"Engkau tahu bahawa adanya kematian, tetapi kalian tidak mempersiapkan diri bagi menemuinya."

Ertinya, kematian sebagai alat bertemu Tuhan tetapi mereka tidak mempersiapkan diri menemuinya.

Kelapan:

"Kalian sibuk dengan keaiban orang tetapi kalian tidak menghiraukan keaiban diri sendiri."

Ertinya, kegemaran mencari-cari kelemahan orang lain membuatkan dirinya lupa kepada kelemahan diri sendiri. Perkara ini membuatkan sifat sombongnya semakin menjadi-jadi. Tidak masuk syurga orang itu selagi dalam hatinya masih terdapat sifat-sifat sombong walaupun sebesar zarrah (biji yang paling kecil). Begitulah kata nabi. Nilai sombong sebesar zarrah dapat menghalang seseorang memasuki syurga, apalagi hanya sebuah doa, sudah tentu tertolak.

Kesembilan:

"Kalian banyak memakan nikmat Tuhanmu tetapi kalian tidak mensyukurinya."

Maksudnya adalah dia lupa kepada nikmat Tuhan yang diberikan kepada dirinya. Padahal terlalu banyak nikmat Tuhan yang dikurniakan kepadanya. Katakanlah dia kufur nikmat. Tuhan membenci orang yang tidak mahu berterima kasih. Tuhan tidak melihatnya ketika orang itu berdoa.

Kesepuluh:

"Kalian selalu mengikuti upacara pengkebumian jenazah tetapi kalian tidak pernah mengambil iktibar daripadanya."

Dia tidak banyak mengambil pengajaran daripada kematian sehingga keinsafannya terhadap kebaikan tidak timbul. Ertinya dia belum mengubah sikap tradisi buruknya.

     Inti daripada perkataan Syeikh Ibrahim bin 'Adham ini adalah tiadanya keselarasan sikap dan tindakan dengan pengetahuannya. Dengan perkataan lain, berilmu tetapi tidak mahu mengamalkan ilmunya.

     Wallahu a'lam.

Sumber: Buku DOA AJARAN : Ilahi

"Untuk peringatan diri anda dan diri saya sendiri."
#SharingIsCaring :)